Thursday, 12 April 2012

:: Ciri Sahabat Sejati Mengikut Imam Ghazali ::


“Imam Al-Ghazali berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut: 
  1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu
  2. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu
  3. Jika engkau menghulur sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik
  4. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu
  5. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu
  6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
  7. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu , dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.
  8. Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya
  9. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta) dia akan menanyakan kesusahan kamu
  10. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
  11. Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk atau maksiat.
  12. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu
  13. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu
  14. Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu akan teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.

“sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

Manusia adalah insan kerdil yang sentiasa cenderung melakukan kesilapan … Bedampinglah kamu dengan insan-insan yang mampu menasihatimu apabila kamu melakukan kesalahan… serta insan yang mampu menerima teguran apabila dia melakukan kesilapan. Kerana manusia itu diciptakan saling memelukan….

Ukhuwah itu bagai seutas tasbih …… di cipta untuk mengingatiNya… ada awal tiada penghujungnya…..dibahagikan untuk cintaNya dan diratib untuk redhaNya…..

:: Seutas tasbih sebuah janji sampai syurga nanti ::

























Tips Atasi Gangguan Jin, Syaitan dan Sihir


assalamualaikum.. 


melihat kepada firman Allah Taala di atas... semua makhluk yang Allah ciptakan termasuk  jin adalah untuk beribadat dan mengEsakanNya.. namun tidak dapat dinafikan bahawasanya ada golongan jin yang sering menganggu manusia dalam mencari ilmu,melaksanakan perintahNya.. berikut,cik sharifah sertakan beberapa cara yang cik sharifah kumpulkan daripada ustaz2 yang mempelajari ruqyah syariyyah.. selamat beramal kawan2,moga Allah lindungi kita.. ^_^
1. Membaca Bismillah Sebelum Masuk Rumah Dan Sebelum Makan.
2. Membaca Bismillah Sebelum Menutup Pintu Rumah dan Menutup Bekas Minuman
3. Membaca Ayat Kursi Sebelum Tidur
4. Membaca Tiga (3) Qul Selepas Solat
5. Merapatkan Saf Solah Berjemaah
6. Membaca Surah Baqarah Di dalam Rumah
7. Melaungkan Azan 
8. Mengucapkan La Haula Wala Quwwata Illa Billah Apabila Terlupa Sesuatu
9. Membaca Dua (2) Qul Sebelum Tidur
1. Membaca Bismillah Sebelum Masuk Rumah Dan Sebelum Makan
Jabir Radhiallallahu Anhu berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seorang masuk ke dalam rumahnya dengan menyebut ‘Bismillah’ ketika masuk (ke dalam rumah) dan ketika makan, maka syaitan berkata kepada temannya: Tiada tempat tinggal dan tiada bahagian makanan bagi kamu di sini. “ Dan apabila masuk ke rumah tiada menyebut nama Allah, syaitan berkata: “Kamu dapat bermalam di rumah ini, kemudian jika waktu makan tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata: Kamu dapat bermalam dan makan di sini”.(Hadis riwayat Muslim)
2. Membaca Bismillah Sebelum Menutup Pintu Rumah dan Menutup Bekas Minuman
Rumah yang pintunya ditutup dengan membaca Bismillah tidak akan dimasuki syaitan, (walaupun syaitan boleh masuk melalui lubang, ia tidak akan masuk). Begitu juga minuman yang ditutup dan dibaca Bismillah.……
Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang berkunci. Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah.(Hadis Riwayat Muslim)
3. Membaca Ayat Kursi Sebelum Tidur
Dalam kisah Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dengan syaitan yang mencuri harta zakat, disebutkan bahawa syaitan tersebut berkata,“Biarkan aku mengajarimu beberapa kalimah yang Allah memberimu manfaat dengannya. Bila engkau masuk ke tempat tidur, bacalah ayat kursi. Dengan demikian, akan selalu ada penjaga daripada Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” Ketika Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam, beliau berkata, “Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.” (HR. al-Bukhari no. 2187)
4. Membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas selepas solat untuk menolak sihir.
Daripada ‘Uqbah bin Amir, dia berkata: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkanku supaya aku membaca ‘Al-Muawidzat’ (1.Qulhuwallahu Ahad. 2. Qul a’udzu bi rabbil falaq 3. Qul a’udzu bi rabbinnaas.) selepas setiap solat(fardu/wajib).”
5. Merapatkan Saf Solah Berjemaah.
Saf yang rapat tidak akan dimasukki syaitan, (walaupun syaitan itu jisim halus dan boleh memasukkinya melalui celah betis). Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya(kekuasaannya), aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasa’i dan Ahmad) 
6. Membaca Surah Al-Baqarah Di dalam Rumah
“Jangan kamu semua menjadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan, maka sesungguhnya Syaitan lari bertempiaran daripada rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (HR Muslim dan al-Tirmizi daripada hadith Abu Hurairah)
7. Melaungkan Azan
Syaitan juga lari bila azan yang mengandungi lafaz takbir itu dilaungkan.
Sesungguhnya syaitan apabila dikumandangkan azan, ia akan berpaling dan berlari dengan pantas.(Muslim).
Daripada Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya: ”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.” (al-Bukhari)
8. Mengucapkan La Haula Wala Quwwata Illa Billah Apabila Terlupa Sesuatu
Berzikirlah untuk mengingati Allah,  ucaplah kalimah La Haula Wala Quwwata Illa Billah agar Allah melindungi kita daripada gangguan syaitan yang menyebabkan kita lupa.
Mujadilah [19] :Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan merekalupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah;
9. Membaca Dua (2) Qul Sebelum Tidur 
Apabila Rasulullah s.a.w. jatuh sakit kerana disihir, Malaikat Jibril telah menjampi Baginda dengan membaca 2 Qul iaitu Surah An-Nas (Qul a’uzubirabbinnas) dan Al-Falaq (Qul a’uzubirabbil falaq) dan ditiup pada seluruh tubuhnya
Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari ‘Aisyah r.a. katanya adalah Rasulullah s.a.w. apabila Baginda berada di tempat tidurnya setiap malam beliau menemukan dua tangannya kemudian menghembuskan pada kedua-duanya dan membaca (Qul a’uzubirabbinnas) dan (Qul a’uzubirabbil falaq) kemudian beliau sapukan dengan kedua-dua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya, beliau mulakan di atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya.

Wednesday, 28 March 2012

awas!! dengan NIKMAT anda


Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! dan hendaklah (tiap-tiap) orang yang memerhatikan apa yang diusahakan esok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan…”( Al-Hasyr:18)

Orang Mukmin adalah orang yang takut kepada Allah SWT dan seluruh anggota badannya. Sebagaimana Abul-Laits telah berkata: “Tanda-tanda takut kepada Allah itu dalam 7 perkara…” iaitu:

1. Pada Lisannya...
Dia menghindar daripada berdusta, ghibah, menyebar fitnah, berbual kosong dan bercakap banyak…

2. Pada hatinya...
Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya, Kedengkian akan menghapuskan kebaikan sepertimana sabda Rasulullah SAW:
“Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu…”

3. Pada Matanya...
Dia tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpikat kepada dunia, tetapi memandangnya dengan mengambil ikhtibar, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada hari akhirat…”

4. Pada Perutnya...
Tidak diisi perutnya dengan perkara-perkara haram kerana itu adalah dosa besar, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh Malaikat di langit dan di bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, Nerakalah tempatnya…”

5. Pada Tangannya...
Tidak ia mengunakannya untuk perkara yang haram, tetapi menggunakannya untuk ketaatan kepada Allah SWT. Dirawikan daripada Ka’ab Akhbar katanya:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan bangunan dari zabarjud hijau. Di dalamnya terdapat 70 ribu aula, setiap aula terdapat 70 ribu pondok. Tidak ada yang boleh masuk kesitu, melainkan orang-orang yang ditawarkan barang haram tetapi ditolaknya kerana takut akan dia kepada Allah SWT…”

6. Pada Langkahnya...
Dia tidak menggunakan kakinya untuk melangkah ke jalan maksiat, tetapi hanya melangkah untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNYA serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh…

7. Pada ketaatannya...
Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Takut akan riak dan munafik…

Barang siapa yang melakukan 7 perkara tersebut, maka dia termasuk tergolong dalam golongan orang-orang yang dikatakan oleh Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang taqwa dalam kebun-kebun dan mata air (Syurga)…”
( Al-Hijr:45)










CARiLah UNTukMU IMAM bukan SEMata SUAMI

"Aku terima nikahnya si dia bersama dosa2 nya yang telah dipikul ayahnya dan mulai sekarang setiap perbuatannya terikat dengan amanah yang ada padaku.."
 pernah tahu tak makna di sebalik lafaz akad nikah yg harus dilafazkan dengan sekali lafaz?

SUAMI ATAU IMAM?
"Abang..hari tu ingat period dah habis. Ayang dah mandi, dah solat. Tapi hari ni keluar balik..kira period balik ke bang? "
" Maybe kot. Try search kat google.."
" Dah tapi macam tak paham sangatla bang. Erm, Kak Erma cakap dekat masjid belah pagi ada kuliah muslimat, ada ustazah ajar masalah-masalah macam ni.."
" Buat apa..cari je kat youtube. Banyak kuliah-kuliah dalam tu. Lagipun abang sibuk, mana sempat nak hantar nak ambik kat masjid.."
Dan si isteri terus terdiam. 3 tahun perkahwinan, isu yang sama berulang, si suami pula terus menerus memberi alasan.

Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.
Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.
Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.
Apa peranan imam dalam solat?
Kita makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.
Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau terlupa dalam bacaan surah?
Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.
Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar diaplikasikan dalam hidup.
Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya.
Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya.
Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.

PERKAHWINAN
Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua.
Ia perjanjian sampai mati.
Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.
Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua.
Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu.
Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai 'bab orang perempuan' yang tidak perlu diketahui oleh lelaki.
Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.
" Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! "
Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab.
Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami?
Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?
Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?
MENCARI SEORANG IMAM
Tak kacak tak mengapa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan.
Tak kaya tak mengapa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan.
Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.
Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh.
Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah.
Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik?
Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam.
Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam.
Ada juga yang merasakan lelaki 'berpengajian agama' itu paling baik sebagai imam.
Saya geleng kepala.
Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.
Pun begitu, saya suka mencadangkan.
Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh 'suai-kenal' atau istilah rasminya , bertunang.
Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan 'sepenuh ketaatan' kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang.
Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.
MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG
Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.
Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.
Antara cara yang mungkin anda boleh gunakan adalah melalui perbincangan.
Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada 'kewajipan' sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan 'tidak' kepada dia jika tidak kena caranya.
Cara berbincang ini , jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak.
Malangnya, cara perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan.
Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.
ASALKAN DIA BAIK ?
Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.
Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik.
Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik atau tidak.
Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang tutup aurat semua baiklah?
Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang yang baik mestilah akan menutup aurat.
Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama.
Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.
Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.
Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.




Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana?
Buatlah pilihan dengan bijak.
Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan semata-mata seorang suami..:)