Wednesday, 28 March 2012

awas!! dengan NIKMAT anda


Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! dan hendaklah (tiap-tiap) orang yang memerhatikan apa yang diusahakan esok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan…”( Al-Hasyr:18)

Orang Mukmin adalah orang yang takut kepada Allah SWT dan seluruh anggota badannya. Sebagaimana Abul-Laits telah berkata: “Tanda-tanda takut kepada Allah itu dalam 7 perkara…” iaitu:

1. Pada Lisannya...
Dia menghindar daripada berdusta, ghibah, menyebar fitnah, berbual kosong dan bercakap banyak…

2. Pada hatinya...
Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya, Kedengkian akan menghapuskan kebaikan sepertimana sabda Rasulullah SAW:
“Hasad itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api membakar kayu…”

3. Pada Matanya...
Dia tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian atau hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpikat kepada dunia, tetapi memandangnya dengan mengambil ikhtibar, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang memenuhi matanya dengan perkara haram, maka Allah akan memenuhinya daripada api pada hari akhirat…”

4. Pada Perutnya...
Tidak diisi perutnya dengan perkara-perkara haram kerana itu adalah dosa besar, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Manakala sesuap daripada barang haram masuk ke perut seseorang, maka seluruh Malaikat di langit dan di bumi melaknatinya selama sesuai atau seteguk barang itu berada di dalam perutnya. Jika dia mati dalam keadaan demikian, Nerakalah tempatnya…”

5. Pada Tangannya...
Tidak ia mengunakannya untuk perkara yang haram, tetapi menggunakannya untuk ketaatan kepada Allah SWT. Dirawikan daripada Ka’ab Akhbar katanya:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan bangunan dari zabarjud hijau. Di dalamnya terdapat 70 ribu aula, setiap aula terdapat 70 ribu pondok. Tidak ada yang boleh masuk kesitu, melainkan orang-orang yang ditawarkan barang haram tetapi ditolaknya kerana takut akan dia kepada Allah SWT…”

6. Pada Langkahnya...
Dia tidak menggunakan kakinya untuk melangkah ke jalan maksiat, tetapi hanya melangkah untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNYA serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh…

7. Pada ketaatannya...
Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Takut akan riak dan munafik…

Barang siapa yang melakukan 7 perkara tersebut, maka dia termasuk tergolong dalam golongan orang-orang yang dikatakan oleh Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang taqwa dalam kebun-kebun dan mata air (Syurga)…”
( Al-Hijr:45)










CARiLah UNTukMU IMAM bukan SEMata SUAMI

"Aku terima nikahnya si dia bersama dosa2 nya yang telah dipikul ayahnya dan mulai sekarang setiap perbuatannya terikat dengan amanah yang ada padaku.."
 pernah tahu tak makna di sebalik lafaz akad nikah yg harus dilafazkan dengan sekali lafaz?

SUAMI ATAU IMAM?
"Abang..hari tu ingat period dah habis. Ayang dah mandi, dah solat. Tapi hari ni keluar balik..kira period balik ke bang? "
" Maybe kot. Try search kat google.."
" Dah tapi macam tak paham sangatla bang. Erm, Kak Erma cakap dekat masjid belah pagi ada kuliah muslimat, ada ustazah ajar masalah-masalah macam ni.."
" Buat apa..cari je kat youtube. Banyak kuliah-kuliah dalam tu. Lagipun abang sibuk, mana sempat nak hantar nak ambik kat masjid.."
Dan si isteri terus terdiam. 3 tahun perkahwinan, isu yang sama berulang, si suami pula terus menerus memberi alasan.

Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.
Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.
Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.
Apa peranan imam dalam solat?
Kita makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.
Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau terlupa dalam bacaan surah?
Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.
Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar diaplikasikan dalam hidup.
Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya.
Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya.
Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.

PERKAHWINAN
Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua.
Ia perjanjian sampai mati.
Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.
Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua.
Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu.
Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai 'bab orang perempuan' yang tidak perlu diketahui oleh lelaki.
Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.
" Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! "
Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab.
Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami?
Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?
Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?
MENCARI SEORANG IMAM
Tak kacak tak mengapa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan.
Tak kaya tak mengapa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan.
Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.
Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh.
Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah.
Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik?
Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam.
Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam.
Ada juga yang merasakan lelaki 'berpengajian agama' itu paling baik sebagai imam.
Saya geleng kepala.
Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.
Pun begitu, saya suka mencadangkan.
Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh 'suai-kenal' atau istilah rasminya , bertunang.
Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan 'sepenuh ketaatan' kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang.
Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.
MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG
Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.
Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.
Antara cara yang mungkin anda boleh gunakan adalah melalui perbincangan.
Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada 'kewajipan' sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan 'tidak' kepada dia jika tidak kena caranya.
Cara berbincang ini , jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak.
Malangnya, cara perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan.
Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.
ASALKAN DIA BAIK ?
Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.
Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik.
Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik atau tidak.
Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang tutup aurat semua baiklah?
Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang yang baik mestilah akan menutup aurat.
Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama.
Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.
Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.
Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.




Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana?
Buatlah pilihan dengan bijak.
Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan semata-mata seorang suami..:)















Saturday, 10 March 2012

berpurdah biar solehah..^_^


kali ni cik sharifah nak cakap pasal niqob.. seperti yang kita tau,para azhariah yakni pelajar perempuan yang melanjutkan pelajaran di mesir ataupun di mana2 universiti timur tengah yang memakai niqob ataupun purdah..ni sedikit sebanyak laporan yang cik sharifah dapat.. cam biase lah,mana yang baik,boleh ambik.. yang rase kurang,tinggalkan komen ye,moga Allah redha.. :)

Purdah = Ustazah
Berpurdah atau berniqab, secara mudah akan dilabel sebagai ustazah.
Fikiran sebegini, dianggap betul pada sebahagian orang dan itulah yang mereka pegang zaman berzaman. Orang yang menganggap pernyataan ini betul, adalah orang-orang awam yang menilai segala perkara melalui zahiriah semata-mata. Seorang ustaz mesti pakai kopiah. Siapa yang selalu pakai serban, dia adalah ustaz. Siapa yang selalu pakai tudung labuh, dia adalah ustazah.
Sedang hakikatnya tidak begitu. Ustaz atau ustazah, boleh saja dilabel kepada sesiapa sahaja, apatah lagi jika yang dinilai hanyalah pakaian. Walhal, label itu tidak ada kena mengena dengan soal pakaian secara khusus. Ia berkait rapat dengan soal warak, zuhud, alim dan bijaksana pada seseorang. Semestinya, kemahiran dalam bidang agama adalah teras kepada kelayakan seseorang berada di tempat ustaz atau ustazah. Itu secara hakikat bukan semata-mata persepsi atau gelaran.
Namun perlu diingat. Mahu atau tidak, kita harus terima bahawa dalam masyarakat kita tidak semuanya mempunyai kefahaman agama yang baik. Masih ramai yang jahil dan tak kurang juga yang berlagak tahu – enggan mengaku jahil.
Maka kalau anda ingin memakai purdah atau niqab, sila ambil kira juga kefahaman masyarakat dalam menilai diri anda.

Fenomena Niqobis
Di alam maya ini, lewat aktiviti berfacebook ataupun berblogwalking, secara jujurnya saya melihat semakin ramai wanita yang memakai purdah atau niqab. Tak kurang juga yang menjadikan purdah dan niqab itu sebagai identiti mereka.
Apabila diperhati kepada apa yang dicatat di blog-blog mereka, semuanya cenderung mengajak pembaca kepada nilai ‘ubudiyyah kita kepada Allah. Banyak ayat-ayat tazkirah, firman dan sabda serta tidak kurang juga artikel-artikel agama yang disalin dari pelbagai sumber.
Sekali imbas, saya yakin jiwa mereka sangat lunak dengan agama.
Tetapi suatu keanehan yang paling ketara adalah sebahagian mereka mempunyai tabiat tidak sihat yang sangat bertentangan dengan sunnah berpurdah itu sendiri. Ini mencetus suatu kepelikan yang tidak kunjung sudah di hati saya. Dalam hal ini, saya mempunyai beberapa pendapat :
Pertama : berpurdah itu khilaf antara wajib ataupun sunat. Ada yang menganggap sebagai wajib maka dia mengharamkan wajahnya dari ditatap, dengan meyakini bahawa wajahnya itu juga adalah aurat seumpama rambut dan tangan. Manakala yang menganggapnya sebagai sunat, memakainya sebagai suatu alternatif menzahirkan komitmen ‘ubudiyyahnya kepada Allah. Golongan ini memakai purdah di tempat tertentu dan membukanya di tempat yang lain. Pada saya, selagi mana dianggap sunat maka tidaklah menjadi masalah. Cuma dari sudut istiqamah, ia kelihatan sedikit cacat.
Kedua : berpurdah itu suatu tahap yang hanya boleh dicapai selepas selesai tahap asas terlebih dahulu. Berpurdah itu umpama mengupgrade diri ke peringkat yang lebih baik. Tahap asas yang dimaksudkan itu adalah menutup aurat dengan sempurna, menjauhkan diri dari budaya tabarruj ( berhias diri dan menarik perhatian lelaki ajnabi ) serta mempraktikkan nilai-nilai akhlak seorang muslimah di dalam diri sendiri. Kesemua itu adalah perkara wajib yang telah disepakati dan bukan merupakan perkara khilafiah. Adapun berpurdah, tidak sampai ke tahap itu. Mudahnya, anda tidak boleh memakai baju lengan sekerat kemudian memakai purdah. Sebaliknya anda haruslah berpakaian menutup aurat dengan sempurna terlebih dahulu, barulah anda menambah dengan memakai purdah.
Ketiga : Tujuan memakai purdah bukanlah supaya diri anda tidak dikenali. Ia bukan soal ‘hadang muka’. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda dari menjadi perhatian lelaki ajnabi ataupun menimbulkan fitnah kepada mereka. Atas kesedaran ini anda memakai purdah demi menjaga maruah dan agama anda. Selaras dengan tindakan ini, anda tentunya akan sedaya upaya mengelakkan diri anda dari menjadi tatapan orang ramai, lebih-lebih lagi di alam maya. Adalah sesuatu yang aneh jika anda memakai purdah tetapi mengambil gambar sendiri dalam jarak yang cukup dekat kemudian diletakkan di facebook ataupun blog dengan saiz yang begitu besar!

JAHIL
Itulah namanya simptom dari kejahilan. Jahil dari awal-awal mengorak langkah lagi, iaitu untuk apa anda memakai purdah? Ini kerana yang membezakan antara dua wanita yang memakai purdah adalah iman dan kefahaman mereka. Sedangkan kain sehelai itu bukankah neraca penentu taqwa ataupun tidak.
Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan ‘mahal’. Ada yang memakai purdah kerana mahu menyorok kelemahan tertentu. Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan lebih cantik atau mahu bergaya. Ada yang obses dengan trend dan fesyen. Ada yang obses dengan watak dalam filem atau drama ‘cinta Islamik’. Dan ada juga yang benar-benar memakai purdah kerana mengharapkan keredhaan Allah.
Nah. Sekarang anda di posisi yang mana?

‘Niqobis’ Alam Maya
Secara zahirnya, ada tiga kepelikan ketara yang sering saya lihat pada niqobis yang aktif di alam maya :
1- Bergambar.
Bergambar dalam jarak jauh dan jika tersiar pun, dalam saiz yang kecil pada saya tidaklah menjadi masalah. Jika jarak jauh dan saiz kepala pula hanya sebesar kepala mancis, tiada siapa yang akan tertarik. Yang kenal pun, tentulah kenalan rapat sendiri sahaja. Tetapi jika diletak dengan sebesar-besarnya, sehingga begitu jelas bulu mata yang lentik dengan sekeliling mata berhias celak, itu jelas sekali bertentangan dengan objektif memakai purdah itu sendiri. Meskipun hanya mata yang kelihatan, tetapi jika sejelas itu terpampang, sudah tentu bisa jua mencairkan hati anak adam. Anda sedang meletakkan magnet yang menarik fitnah. Apakah anda fikir jelingan mata anda itu bebas daripada virus fitnah wanita yang disabdakan oleh Nabi s.a.w ..?
2- Tabarruj
Ada beberapa ciri asas dalam tabarruj, antaranya adalah jenis pakaian yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan memakai bau-bauan yang kuat. Ramai niqobis yang seolah keliru dengan diri sendiri. Asalnya memakai purdah dan berbaju labuh untuk mengelak dari menarik perhatian atau menimbulkan fitnah, tetapi lama kelamaan seolah mengambil kesempatan pula ke atas pakaian labuh dan purdah. Daripada satu warna, menjadi banyak warna. Daripada kosong semata, jadi berhias pelbagai manik berkelipan pula. Sudahnya, makin lama makin pelik. Lebih pelik, tangkap gambar banyak-banyak dan masukkan dalam blog secara bersiri. Untuk apa?
3- Mendedahkan aurat
Sudah banyak dijelaskan di sana sini, bahawa menutup aurat itu bukan bermakna menutup rambut. Ada beza yang besar antara keduanya. Jika anda mahu ikut kefahaman sendiri, anda boleh tutup rambut dengan scarf sahaja. Tetapi jika anda mahu ikut Islam, anda wajib menutup seluruh rambut dengan melabuhkan tudung ke bahagian dada, serta memakai baju yang labuh dan tidak menampakkan bentuk badan. Barulah anda diiktiraf sebagai menutup aurat. Yang akan mengiktiraf itu adalah Allah, bukannya manusia. Tetapi saya lihat, ramai niqobis yang tidak mengupgrade disiplin pemakaian mereka sesuai dengan tuntutan syarak, sebaliknya menambah sehelai kain untuk menutup sebahagian muka pula. Ini pelik.
Dengan tabiat yang suka memakai t-shirt dan seluar jeans, dia menambah sehelai kain di muka lalu memanggil dirinya sebagai wanita berpurdah. Ini gharib. Ada juga yang bertudung silang ( tidak dilabuhkan ke dada ) tetapi memakai purdah. Ini juga gharib.
Dalam kesemua yang saya lihat dan perhatikan, saya fikir, sesiapa yang mahu memakai purdah, perlulah berhati-hati. Kenapa?
Pertama : Anda malu dengan manusia. Di dunia ini pun anda sudah merasa malu, kerana anda dilihat sebagai jahil dan aneh. Memakai serban tetapi berseluar pendek, ibaratnya begitu.
Kedua : Di akhirat kelak, anda akan ditanya oleh Allah atas apa yang anda pakai di dunia. Tidak cukup bab tidak menutup aurat dengan sempurna, ditambah pula dengan bab mengapa memakai sehelai kain di muka sedangkan perintah menutup aurat diabaikan. Dari satu hal bertambah jadi dua hal semata-mata kerana anda gatal tangan mahu memakai purdah tanpa terlebih dahulu menjelaskan niat kerana Allah. Itu cari penyakit namanya.
Justeru, sila berhati-hati jika ingin memakai purdah. Apabila anda meletakkan diri anda di tahap itu, maka mahu atau tidak, anda perlu menjadi sepertimana orang yang berada di tahap itu. Baik dari segi perkataan, perbuatan mahupun pemakaian. Sebenarnya, semua itu tidak akan membebankan anda pun jika anda benar-benar ikhlas memakai purdah. Tetapi jika sebaliknya, kekallah anda dalam ‘azab’ kegelisahan yang berpanjangan.
Fikir-fikirkanlah yang mana satu anda..

tertutup tetapi tabarruj?

atau

tertutup begitu juga akhlaknya